MHI TV3 Talk Sheet (6 Ogos 2010)
Anak-anak perlu diajar mengenai semangat Ramadhan yang sebenarnya. Jika tidak, mereka mungkin tidak faham mengapa kita sanggup menahan lapar dan dahaga sepanjang hari. Walaupun mereka mungkin akan turut serta berpuasa, perbuatan itu mungkin hanya kerana suruhan ibu bapa. Jika kita kurang bijak menerapkan semangat Ramadhan ini kepada mereka, mereka kehilangan peluang untuk benar-benar menghayati malah menikmati satu aktiviti yang penuh dengan sifat kerohanian dan spiritual ini.
Jadi bagaimanakah caranya untuk kita memberi inspirasi kepada mereka agar bangkit semangat Ramadhan di dalam jiwa mereka?
Kanak-kanak suka akan konsep cerita yang penuh aksi dan “adventure”. Jadi ada baiknya kita huraikan perihal Ramadhan ini sebagai sebuah “real-life” adventure yang tiba setiap tahun.
Adventure ini berlaku di dalam sebuah kem yang saya namakan “Kem Pembersihan dan Penguatan Rohani”. Untuk menjadi seorang yang kuat, kita perlulah melalui satu siri ujian yang benar-benar mencabar. Lebih kuat ujian tersebut, lebih jitu diri kita.
Kita akan berada di dalam kem ini selama sebulan. Di dalam kem ini, kita berhadapan terus dengan Tuan kita iaitu Allah SWT. Ketika ini, kita perlu melalui satu proses pembersihan diri yang boleh diumpamakan sebagai membasuh sehelai pakaian yang kotor. Jika kita tidak menyentalnya dengan kuat, kotoran itu tidak akan hilang sepenuhnya. Begitu juga dengan diri kita – dengan menahan lapar dan dahaga, kita sebenarnya membersihkan diri tubuh badan kita dari segala bahan toksik dan kotoran. Malah, jiwa kita juga akan turut bersih kerana kita disuruh oleh Tuan kita untuk meninggalkan segala amalan kotor (seperti bergaduh, berbohong, berboros dan bermalasan).
Setelah segala kotoran itu hilang dari kita, Tuan kita menggalakkan kita mengisi ruang yang telah dibersihkan tadi dengan amalan-amalan mulia seperti menghayati Al-Quran, berterawih, membantu orang susah dan berbaik-baik dengan semua orang.
Sepanjang kita di dalam kem tersebut, kita berpeluang mengeratkan perhubungan dengan ibu, bapa dan adik beradik. Ini kerana kita semua berada di tempat yang sama dan menempuhi latihan yang sama. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Antara perkara-perkara yang boleh dilakukan bersama-sama ialah:
Galakkan mereka membuat Jurnal Ramadhan – apakah perkara-perkara buruk yang mereka tinggalkan dan apakah perkara-perkara baik yang mereka lakukan di setiap hari – boleh dibuat secara lukisan atau tulisan
“hadiahkan” mereka dengan peluang membuat pilihan juadah berbuka – budget RM2 seorang agar tidak membazir – ibu bapa hanya tumpang juadah mereka.
Atau lebih baik, buat sendiri kuih & makanan di rumah – dalam suasana ceria dan penuh kerjasama. Buatkan list/menu untuk sebulan.
Beberapa minit sebelum berbuka, si Ayah boleh membuat tazkirah ringkas menngenai ayat-ayat Al-Quran atau cerita-cerita berinspirasi Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat beliau.
Bersahur lewat dan terus solat Subuh berjemaah – di rumah atau di masjid.
Beritahu mereka, jika kita Berjaya menempuh latihan dan ujian di atas, kita mempunyai bekal kekuatan jiwa dan rohani yang cukup kuat untuk menempuh ujian dari musuh kita, Syaitan, sepanjang 11 bulan yang lain. Jika kita mampu bangkit awal untuk bersahur, kita mesti terus mampu untuk bangkit awal untuk bersolah Subuh di bulan-bulan yang lain.
Setelah 30 hari di dalam kem tersebut, barulah kita benar-benar bersih seumpama “dilahirkan semula” sebagai bayi. Ketika itulah kita benar-benar Berjaya dan meraikan Aidil Fitri atau Hari Kelahiran kita semula. Selepas itu, kita hanya perlu kekal bersih sepanjang tahun dengan meninggalkan amalan yang kotor.
Saya yakin jika anak-anak faham tentang semangat Kem Ramadhan ini, mereka akan lebih bersemangat untuk menghadapinya!
Lawati www.SmartParents.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini dan bahan-bahan berguna Ibu Bapa Bijak.
Sila kongsikan bersama asalkan dikreditkan kepada web http://www.smartparents.com.my/
0 comments:
Post a Comment